Masidi arah tindakan segera atasi banjir di dua kampung di Ranau

RANAU: Pihak berwajib diarah mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran air susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai, di sini, Jumaat malam lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, antara langkah segera yang dilaksanakan ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

Menurutnya, tindakan berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan.

“Langkah segera ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya aliran air dapat berfungsi dengan lebih baik dan risiko banjir dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata, Pusat Khidmat DUN Karanaan akan terus bersiap siaga memantau situasi semasa serta menyalurkan bantuan kepada kawasan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat.

Dalam kejadian itu, sebanyak 19 buah kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan dengan bantuan sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club, Kilimu Garage dan Red Army 4X4.

Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung terbabit bagi memastikan keadaan terkawal serta keselamatan penduduk sentiasa terjamin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama