KOTA KINABALU: Cadangan penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan kepada Kabinet negeri dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, cadangan penyelesaian interim itu perlu dibuat kerana penyelesaian jangka masa panjang seperti projek perluasan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
“Susulan aduan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, hari ini saya menyertai sebuah ‘prime mover’ daripada depo di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) ke Pelabuhan Sepanggar untuk mengambil kontena yang akan dihantar kepada pelanggan, bagi meneliti sendiri aduan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan operasi di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, hasil pemerhatian secara langsung mendapati aduan yang disuarakan adalah berasas, dengan beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu diberi perhatian segera.
“Saya dapati aduan yang disampaikan sememangnya berasas. Banyak faktor menyumbang kepada kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, namun isu kecekapan mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya.
Ewon menegaskan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kini menjadi keutamaan nombor satu di MINDET memandangkan peranan strategik pelabuhan berkenaan sebagai pembolehubah utama dalam ekosistem perindustrian dan keusahawanan Sabah.
“Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan nombor satu saya di MINDET untuk diselesaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beberapa perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan berkaitan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan pelaksanaan penyelesaian interim berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.
