KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa supaya memansuhkan pengwujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah kerana negeri itu sudah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK sendiri.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting bagi menghormati perundangan Negeri Sabah selaras dengan semangat reform nasional dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, agenda reform nasional yang diperjuangkan Kerajaan Persekutuan seharusnya turut merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Malaysia.
“Penampang menyokong penuh agenda reform nasional seperti penyasaran semula subsidi, had tempoh jawatan Perdana Menteri, perundangan pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.
“Namun, agenda reform ini mesti turut melibatkan penghormatan terhadap perundangan negeri, termasuk pentadbiran di peringkat kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Parlimen di sini, kelmarin.
Ewon berkata, campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung di Sabah menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, memandangkan negeri itu sudah mempunyai kerangka perundangan sendiri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perkara berkenaan memerlukan penjelasan dan maklum balas yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar isu ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus dipelihara.
Namun, katanya, ia mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan Perjanjian Malaysia dan syarat yang dipersetujui bersama.
