SEMPORNA : Taktik seorang lelaki yang menjadikan masjid sebagai sasaran untuk mencuri tayar dan rim kenderaan ketika jemaah menunaikan solat Jumaat akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Tan Hiap Wah berkata suspek lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.20 petang di sebuah taman perumahan dekat sini hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata kejadian berlaku pada 9 Jan lalu di Masjid Inabah Kamal apabila seorang jemaah menyedari dua tayar bersama rim kenderaannya telah hilang sebaik selesai menunaikan solat Jumaat.
“Mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri tayar dan rim kenderaan mangsa.
“Suspek turut membawa polis ke lokasi simpanan barang curi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tan, suspek dipercayai menyasarkan kawasan masjid kerana menyangka kenderaan ditinggalkan dalam tempoh lama ketika jemaah berada di dalam masjid.
Beliau berkata suspek kini ditahan dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan.
Dalam pada itu, Tan menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiatkan operasi pencegahan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Caption : Tertuduh, lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah bersama barang rampasan.
