KOTA KINABALU: Latihan sumber manusia bukan sekadar keperluan pentadbiran, tetapi perlu diterjemahkan kepada perubahan sikap dan budaya kerja yang memberi impak terus kepada pengguna.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata penekanan itu amat penting terutama dalam sektor perkhidmatan harian seperti restoran dan perniagaan tempatan.
Katanya, kualiti layanan pelanggan terutama restoran-restoran yang terdapat di negeri ini masih memerlukan penambahbaikan.
“Mereka kurang memberi pendedahan kepada staf dari segi perkhidmatan kepada pelanggan. Kadang-kadang kita makan di sebelah mereka, langsung tidak berdisiplin,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Transformasi GLC Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
James menjelaskan bahawa konvensyen tahun ini menghimpunkan semua GLC di Sabah buat pertama kali dan menjadi platform penting untuk memperkukuh latihan serta pembangunan staf bagi meningkatkan tahap profesionalisme.
“Kalau boleh, konvensyen seperti ini perlu dianjurkan lebih kerap, sama ada setiap bulan, dua bulan atau tiga bulan bagi memastikan staf mendapat pendedahan dan latihan berterusan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sekitar enam ribu syarikat persendirian di Sabah berpotensi memanfaatkan latihan yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk meningkatkan disiplin kerja dan imej perkhidmatan kepada pelanggan.
“Usaha ini juga selaras dengan seruan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, supaya semua GLC memberi laporan prestasi setiap tiga bulan bagi menuntut tahap profesionalisme lebih tinggi.
“Semua GLC diingatkan supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik agar memberi hasil yang baik kepada GLC-GLC mereka,” tambahnya.
