Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu merupakan tujuan keutamaan strategik kementerian bagi mengurangkan kebergantungan kepada import secara berperingkat.
“Keperluan untuk meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor pertanian dan perikanan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan I dan II, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong serta Pengurus Besar LIGS selaku pengerusi penganjur Majlis Amanat, Sabdil Tanjong.
Mengulas penglibatan belia, beliau berkata masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah bergantung kepada golongan muda dan perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah dan menguntungkan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal menjadi fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Jamawi turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap dan tahap integriti yang tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan serta ketidakcekapan.
“Semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri serta persekutuan perlu bersikap proaktif, turun ke lapangan dan bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.
“Kerjasama antara agensi perlu diperkukuh dengan memecahkan silo antara jabatan, agensi persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta melalui perkongsian awam-swasta,” ujar beliau.
