KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian tegas untuk tidak lagi melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah mutlak dan tidak boleh dicabar.
Menurut Azalina, keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang membatalkan ‘Award Akhir’ berkaitan tuntutan pihak Sulu baru-baru ini disifatkan sebagai satu kemenangan besar buat Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kemenangan ini secara teknikalnya telah melumpuhkan semua cubaan tidak berasas penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Jeffrey Gapari Kitingan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, walaupun penimbang tara kes berkenaan, Gonzalo Stampa, telah dikenakan hukuman penjara, kerajaan mengakui kos yang ditanggung negara untuk mempertahankan kedaulatan di pelbagai bidang kuasa antarabangsa adalah sangat tinggi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini sedang memperincikan strategi bagi menuntut semula kos kerugian yang ditanggung sepanjang proses perundangan tersebut.
Mengulas isu bayaran pajakan, Azalina mengesahkan Malaysia telah menghentikan sepenuhnya sebarang bentuk bayaran kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu sejak 2013.
Katanya, tindakan itu diambil susulan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, yang bukan sahaja mencabuli kedaulatan negara malah mengorbankan 10 wira negara.
“Kerajaan menegaskan bahawa tiada lagi sebarang obligasi bayaran akan dibuat kepada mana-mana pihak kerana kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah mutlak dan telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Bagi memastikan isu berkenaan tidak terus mengganggu kepentingan negara, Azalina berkata kerajaan akan menggunakan dua pendekatan utama iaitu melalui saluran perundangan antarabangsa bagi menyekat sebarang cubaan penguatkuasaan award di negara lain serta memperkukuh diplomasi bagi memastikan pengiktirafan antarabangsa terhadap integriti wilayah Malaysia.
"Langkah itu dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan untuk menghalang sebarang cubaan pihak luar atau pembiaya dana litigasi daripada mengambil kesempatan ke atas kedaulatan negara demi kepentingan kewangan," katanya.
