![]() |
| Armizan, ketika membentangkan Hala Tuju KPDN 2026, hari ini. Ihsan: KPDN |
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempercepat usaha reformasi undang-undang dengan menyasarkan pindaan dan penggubalan lima akta utama tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan kecekapan pasaran dan membanteras amalan tidak beretika dalam sektor perdagangan.
“Fokus kita ialah menterjemahkan pelan kepada tindakan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, antara akta yang akan dipinda ialah Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasakan tindakan terhadap kartel dan monopoli.
“KPDN juga akan meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 bagi membanteras penipuan pelaburan, di samping memastikan industri berkembang secara beretika dan mampan,” jelasnya.
Sementara itu, kementeriannya juga akan menggubal undang-undang e-dagang serta memperkukuh peruntukan Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Ini akan memudahkan pembiayaan perniagaan dengan memberi kejelasan dan keselamatan kepada pemberi pinjaman melalui sistem pendaftaran sukarela yang diselia oleh SSM,” tambahnya.
Tambahnya, semua pembaharuan itu hasil libat urus bersama industri, agensi berkaitan, persatuan pengguna, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik
“Kita ingin memastikan manfaat perubahan itu dirasai oleh rakyat sekali gus memacu pembangunan ekonomi domestik yang sihat, mampan dan progresif,” kata beliau.
