SEMPORNA: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah berdepan hukuman mati selepas polis merampas 51.13 gram syabu dalam satu operasi di Kampung Batu, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna ketika Operasi Tapis dijalankan.
Menurutnya, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menghampiri lelaki terbabit yang dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan di dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan berkata, suspek yang merupakan lelaki warganegara asing itu turut didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan air kencing, namun semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan akan terus memperhebatkan operasi membanteras jenayah narkotik di daerah ini.
"Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah kepada balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras dadah di Semporna," katanya.
