![]() |
| Suspek ditahan bersama lebih 1kg syabu dalam serbuan khas di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun, pada Khamis, malam. |
TAWAU: Gelap mata akibat habuan puluhan juta rupiah, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun menerima padah apabila ditahan polis bersama lebih satu kilogram dadah jenis syabu dalam satu serbuan khas dekat sini, kelmarin.
Remaja warga Indonesia terbabit ditahan kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan itu dibuat hasil maklumat risikan yang membawa kepada pemantauan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, pasukan polis menjalankan pemerhatian selama kira-kira 15 minit di lokasi sebelum menahan kenderaan terbabit dan melakukan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi satu paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 1,009.47 gram bernilai kira-kira RM35,000.
"Suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan dia berperanan sebagai ‘runner’ yang dibayar puluhan juta rupiah untuk menghantar bekalan itu ke negara jiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Jelasnya, pihak polis kini giat menjalankan risikan bagi menjejaki rangkaian atau sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek terbabit.
"Suspek kini ditahan reman sehingga 9 Januari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
