KOTA BELUD: Seorang lelaki disyaki mempunyai masalah kesihatan mental yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui lemas di Sungai Lebak Engad, kira-kira dua kilometer dari Kampung Siasai Tamu, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.16 petang bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Menurutnya, seramai 12 anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai, dengan jentera tiba pada jam 3.28 petang.
“Mangsa berusia 55 tahun dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Siasai Dundau pada jam 6 pagi, 12 Januari lalu dengan tujuan ke Hospital Kota Belud untuk mengambil ubat, namun tidak pulang ke rumah.
“Saksi memaklumkan mangsa kali terakhir dilihat menuju ke arah sungai di Kampung Siasai Tamu sekitar jam 5 petang pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Elge berkata, mangsa yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) itu sedang menerima rawatan berkaitan masalah kesihatan mental dan kali terakhir dilihat memakai baju T-shirt berwarna biru turquoise.
Katanya, operasi SAR dijalankan menggunakan Bot YaPIEM berikutan keadaan air sungai yang cetek sebelum mangsa ditemui.
“Mangsa dibawa ke tebing dan disahkan meninggal dunia oleh PDRM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang selepas mangsa ditemui," katanya
