KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang untuk mewujudkan kemudahan Dapur Siswa bagi memperluaskan manfaat inisiatif kebajikan makanan kepada yang lebih 3,000 mahasiswa di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.
Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak universiti dalam membantu pelajar kurang berkemampuan.
“Di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae, yang menempatkan lebih 3,000 hingga 3,500 pelajar dan insya-Allah kita akan menyediakan dapur siswa lagi untuk manfaat kepada lebih ramai pelajar.
“Kemudahan ini akan beroperasi dari pagi sehingga tengah malam bagi memastikan keperluan makanan asas mereka sentiasa ada,”katanya ketika ditemui pemberita di Dapur Siswa Kolej Kediaman Tun Mustapha, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa seramai 80 pelajar tampil secara sukarela bagi membantu proses penyediaan makanan yang beroperasj seawal enam pagi sehingga 12 tengah malam.
“Saya sendiri melihat bagaimana para pelajar ini sudah berada di dapur sejak awal pagi untuk menyiapkan makanan.
“Program ini sudah mula dilaksanakan secara rasmi pada November 2025,”jelasnya.
Mengulas mengenai aspek keselamatan, beliau turut berkata bahawa dapur siswa berkenaan diberi keutamaan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan kemudahan berkenaan digunakan secara terkawal dan berhemah.
“Kita juga mempunyai kolej kediaman di Labuan untuk pelajar lelaki dan perempuan, dan dalam proses untuk menyediakan fasiliti dapur siswa.
“Begitu juga di Kampus Pertanian Lestari di Sandakan, kemudahan yang sama akan disediakan untuk pelajar kurang berkemampuan dalam universiti ini,”tambahnya.
‘Dapur Siswa’ adalah inisiatif UMS yang bertujuan membantu pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses makanan, sekaligus memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.
