KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperhebatkan penguatkuasaan apabila menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Gegar yang dijalankan sekitar bandar raya ini, awal pagi Khamis.
Operasi yang dilaksanakan oleh Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu itu membabitkan seramai 40 pegawai dan anggota JIM Sabah.
Menurut kenyataan JIM Sabah, sepanjang operasi dijalankan, seramai 278 individu terdiri daripada warganegara tempatan dan asing diperiksa bagi mengesan pelanggaran undang-undang imigresen.
“Hasil pemeriksaan mendapati lapan PATI ditahan, membabitkan tiga lelaki dewasa dan lima wanita dewasa warga Filipina dan Indonesia.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya hari ini.
Katanya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, sekali gus membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
"Orang awam turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti PATI bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan secara lebih berkesan," katanya

