Tafsiran MA63 isu minyak dan gas: ‘Itu pendapat mereka, bukan Sabah’ - Hajiji

KOTA KINABALU: Kenyataan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan serta kawal selia minyak dan gas adalah pandangan pihak tertentu dan bukan pendirian kerajaan Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menegaskan perkara itu masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan tuntutan hak Sabah.


“Itu pendapat mereka, kita di Sabah masih berbincang mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Hajiji berkata, rundingan berkaitan pelaksanaan MA63 masih berjalan dan kerajaan negeri komited memastikan perkara berkaitan hak serta kepentingan Sabah dapat direalisasikan melalui saluran perbincangan.


“Sekarang ini ia sedang dalam perbincangan untuk direalisasikan. Insya-Allah kita tunggu saja,” katanya.


Sementara itu, kenyataan berkaitan tafsiran MA63 terus menjadi perdebatan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin sebelum ini menegaskan perjanjian itu tidak boleh ditafsir secara sempit khususnya dalam isu minyak dan gas.


Roger, yang juga bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), berkata MA63 bukan undang-undang teknikal untuk mengawal industri tertentu, sebaliknya perjanjian asas pembentukan negara yang menentukan pembahagian kuasa dan kawalan ekonomi antara Persekutuan serta negeri pembentuk Malaysia.


Katanya, MA63 memperoleh kekuatan undang-undang melalui penggabungannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipersempitkan hanya kerana tiada peruntukan literal berkaitan minyak dan gas.


Beliau turut berpandangan kewujudan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) menunjukkan Persekutuan tidak mempunyai pemilikan asal terhadap petroleum, manakala tindakan Sarawak mengekalkan undang-undang berkaitan minyak dan gas negeri pula adalah pelaksanaan kuasa yang tidak pernah dimansuhkan secara sah.


Perdebatan itu timbul susulan kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa MA63 tidak mengandungi peruntukan mengenai pemilikan dan pengawalseliaan minyak serta gas, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi di Sabah dan Sarawak.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama