SEMPORNA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah sekali lagi menumpaskan cubaan penipuan dokumen pengenalan apabila dua lelaki ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Semporna, kelmarin.
Menerusi kenyataan Facebook rasmi JPN Sabah memaklumkan, kedua-dua suspek dipercayai memberi maklumat palsu sebagai penganjur permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan, sebelum ini.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi apabila sepasukan pegawai penguat kuasa JPN menahan seorang lelaki di JPN Daerah Semporna.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam permohonan kad pengenalan di Kinabatangan pada 2 Ogos 2016 dengan menggunakan maklumat tidak benar.
“Satu jam kemudian, kira-kira jam 11.30 pagi, seorang lagi lelaki turut ditahan di lokasi sama atas kesalahan serupa, dipercayai memberikan maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan pada 3 April 2017,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
JPN Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan sistem pendaftaran negara.
“Penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras penipuan, pemalsuan maklumat serta sebarang cubaan mencemar integriti sistem pendaftaran negara,” katanya.
