Anggota PGA mengaku tidak bersalah, didakwa pandu mabuk sebabkan kecederaan

Anggota PGA, Mohd Rizal Mohd Najar, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan memandu dibawah pengaruh alkohol, September lalu. Foto | SS.

TAWAU : Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang penunggang motosikal, September lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Mohd Najar, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rizal yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 didakwa memandu sebuah kereta jenis Perodua Viva di bawah pengaruh alkohol sehingga terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun cedera.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah 245 miligram bagi setiap 100 mililiter darah, melebihi had ditetapkan iaitu 195 miligram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan St Patrick menghala ke pusat bandar Tawau pada kira-kira jam 8.30 malam, 1 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, selain hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, memohon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 25 Feb untuk sebutan dan pengurusan kes.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama