KENINGAU: Razzidin Robert mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda serta keputusan keluar sebagai ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan, Razzidin berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira hala tuju serta keperluan diri bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat.
“Ini bukan keputusan yang mudah, namun saya percaya ia adalah langkah paling wajar pada ketika ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan, ahli serta penyokong yang telah memberi kepercayaan, ruang dan kerjasama sepanjang penglibatannya dalam parti itu.
Menurutnya, segala pengalaman yang diperoleh sepanjang berada dalam STAR Sabah amat dihargai dan akan menjadi asas penting dalam perjalanan beliau seterusnya.
Dalam masa sama, Razzidin menegaskan komitmennya untuk terus berbakti kepada masyarakat Sabah, khususnya di kawasan Parlimen Keningau, melalui pendekatan yang lebih sesuai serta berlandaskan prinsip dan nilai yang dipegang.
“Saya akan terus menyumbang demi Sabah yang lebih baik,” katanya.
