SEPANGGAR: Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, menggesa semua pihak meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dalam menangani isu aduan kesesakan di Pelabuhan Sepanggar.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, aduan mengenai kesesakan pelabuhan bukan sahaja melibatkan operasi di dalam pelabuhan, tetapi juga merangkumi keseluruhan rantaian bekalan perkhidmatan, termasuk peranan pelbagai agensi kerajaan dan keperluan pendigitalan perkhidmatan berkaitan.
“Saya mengadakan kunjungan ke pelabuhan untuk berbincang dengan operator serta agensi berkaitan.
“Saya menerima taklimat daripada Sabah Ports Sdn Bhd dan DPW Sabah Sdn Bhd sebagai operator pelabuhan, serta taklimat daripada SEDIA mengenai projek pelabuhan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak, terutama operator pelabuhan, di Pelabuhan Sepanggar hari ini.
Ewon turut dimaklumkan mengenai rancangan perluasan Pelabuhan Sepanggar oleh Suria Capital Holdings.
“Data-data menunjukkan berlaku peningkatan ketara import-eksport kargo di Pelabuhan Sepanggar yang merupakan satu indikasi positif kepada aktiviti ekonomi Sabah.
“Perkara berkaitan aduan kesesakan dan kecekapan telah dibincangkan secara menyeluruh, merangkumi keseluruhan rantaian perkhidmatan, daripada peranan pelbagai agensi kepada keperluan digitalisasi,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa beliau akan mempengerusikan beberapa lagi perbincangan susulan sebelum mengangkat kertas ke Kabinet.
Katanya, perbincangan itu bertujuan bagi mendapatkan keputusan terhadap cadangan penyelesaian interim, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang melalui perluasan pelabuhan disiapkan.
“Semua pihak harus meletakkan ‘Sabah State interest’ sebagai keutamaan. Isu ini hanya dapat ditangani dengan adanya ‘pasukan Sabah First’ yang mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
“Dengan pendekatan ini, saya yakin isu kesesakan boleh ditangani dengan lebih baik,” tambahnya.
