Kementerian komited baiki kelemahan fasiliti sukan di Sabah – Nizam

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah memberi komitmen untuk membaiki kelemahan fasiliti sukan di seluruh negeri, susulan video yang tular di media sosial berkenaan Dewan Gimnastik yang uzur baru-baru ini. 

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata Lembaga Sukan Negeri Sabah akan meneliti perkara itu dengan segera bagi memastikan kemudahan yang disediakan selesa dan selamat digunakan atlet serta masyarakat.

“Saya mendapat maklumat berkaitan aduan keadaan Dewan Gimnastik yang begitu uzur. 

“Saya telah meminta pengurus Lembaga Sukan untuk melihat aduan ini dan membuat laporan segera kepada saya supaya pihak kementerian dapat melakukan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Borneo International Marathon 2026 Kota Kinabalu yang bertempat di Hotel Hyatt Centric, di sini, hari ini. 

Menurut Nizam, kementeriannya komited membaiki kelemahan yang dikenal pasti, manakala fasiliti yang masih dalam keadaan baik akan terus dipertingkatkan. 

“Saya sebagai menteri beri komitmen akan baiki kelemahan yang ada, khususnya fasiliti sukan dan mana yang baik akan diteruskan,” jelasnya. 

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan lawatan ke seluruh Sabah bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti sukan sedia ada termasuk yang menempatkan atlet pelapis.

“Beri saya masa kerana saya akan membuat lawatan ke seluruh Sabah untuk melihat sendiri fasiliti-fasiliti sukan yang ada,”tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kementeriannya bersama Lembaga Sukan Sabah akan berusaha memberikan yang terbaik demi pembangunan belia, kemajuan sukan dan ekonomi kreatif di negeri ini. 

“Saya hargai, di bawah pimpinan Ketua Menteri yang turut memberi perhatian serius terhadap usaha memperkukuh sektor belia dan sukan, termasuk memperbaiki kemudahan yang menjadi tumpuan atlet,” ujar beliau. 

Beliau turut menambah bahawa kemudahan sukan yang baik dan selesa akan membantu meningkatkan kualiti latihan sekali gus melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama