PAPAR: Gangguan kritikal bekalan air yang menjejaskan Mukim Kinarut dan Kawang sejak penghujung Disember 2025 disyaki membabitkan unsur sabotaj terhadap infrastruktur utiliti awam, sekali gus mendorong satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan jenayah dijalankan.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dapatan awal hasil mesyuarat khas bersama jabatan dan agensi berkaitan mendapati berlaku gangguan terhadap injap pintu air (sluice valve) di dua stesen pam penggalak yang membekalkan air ke Mukim Kinarut dan Kawang.
Katanya, dapatan itu dilaporkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hasil siasatan pasukan khas yang dihantar ke lapangan.
“Gangguan terhadap injap berkenaan menyebabkan berlaku alihan bekalan air ke kawasan luar mukim terbabit, malah sehingga ke luar sempadan Papar.
"Keadaan ini menjejaskan kawasan yang sedia berada dalam jadual catuan dan mengakibatkan kesulitan serius kepada penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, Armizan berkata beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan lanjut.
“Saya berpandangan tindakan ini berunsur khianat dan sabotaj terhadap infrastruktur atau utiliti awam yang membawa kemudaratan kepada orang ramai.
"Justeru, siasatan oleh pihak polis amat penting kerana ia melibatkan kemungkinan kesalahan jenayah,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun JANS memberi komitmen untuk menjalankan siasatan dalaman, siasatan bebas oleh pihak berkuasa perlu dilaksanakan secara serentak bagi memastikan ketelusan dan tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Armizan berkata beberapa langkah segera digerakkan bagi menstabilkan bekalan air, termasuk pelaksanaan penyambungan silang (inter-connection) rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon terus ke tangki utama Kawang.
“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan terus ke kawasan terjejas tanpa melalui rangkaian paip yang terlalu jauh dan terdedah kepada gangguan.
"Kerja-kerja ini bermula hari ini dan disasarkan siap dalam tempoh dua minggu sebelum dioperasikan,” katanya.
Selain itu, katanya, kapasiti pemprosesan rawatan air LRA Kogopon 1 sedia ada akan ditingkatkan sebanyak 10 peratus sebagai langkah interim sementara menunggu siapnya LRA Kogopon 2 yang dijangka beroperasi pada suku keempat 2026.
Armizan berkata, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki akan terus dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Parti Warisan sebelum ini menerusi kenyataan media pada 6 Januari lalu mendakwa gangguan bekalan air di Papar berpunca daripada kelemahan pengurusan dan perancangan infrastruktur oleh kerajaan semasa, selain menuntut penyelesaian segera dan menyeluruh.
Bagaimanapun, Armizan menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah memastikan siasatan terhadap unsur sabotaj dijalankan dan langkah pemulihan bekalan air dapat dilaksanakan segera demi kepentingan rakyat.

