![]() |
| Jamawi (kiri) ketika melawat PPS. |
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menziarahi dan meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini, lewat malam tadi.
Dalam lawatan berkenaan, beliau mengunjungi tiga PPS iaitu PPS Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, PPS Rumah Kebudayaan Kampung Pantongan Saga dan PPS Rumah Kebudayaan Kampung Mandalom Lama.
Menurut beliau, etiga-tiga PPS itu dibuka pada jam tiga petang kelmarin oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.
“Bantuan-bantuan awal telah pun diberikan oleh Jabatan Kebajikan Tenom, Pejabat Parlimen Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Beliau berkata, pengagihan bantuan berupa bakul makanan dan air minuman kepada semua mangsa banjir akan diteruskan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Jamawi turut menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas dari bencana alam tersebut.
“Saya amat bersimpati dengan semua mangsa banjir yang terlibat. Semoga sentiasa tabah menghadapi dugaan bencana banjir ini.
“Saya akan berusaha membantu sebaiknya,” ujarnya.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Ketua Daerah Tenom serta Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom.
