![]() |
| Jamawi (barisan depan, tengah) bergambar kenangan bersama Maria (barisan depan,empat dari kiri) dan yang lain di Kompleks Perikanan Likas. |
KOTA KINABALU: Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) diminta mengamalkan pendekatan perkhidmatan mesra rakyat bagi memastikan penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar
berkata, agensi berkaitan tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing, sebaliknya
perlu bekerjasama sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat.
“Agensi seperti Jabatan Perikanan
Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SAFMA mempunyai peranan dan
kepakaran tersendiri yang perlu digembleng secara bersepadu.
“Apabila setiap agensi memainkan
peranan masing-masing dan bekerjasama, penyampaian perkhidmatan kepada rakyat
akan menjadi lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Perikanan Likas, di sini, semalam. Turut
hadir, Timbalan Setiausaha Tetap II kementerian, Maria David Edick.
Dalam lawatan itu, Jamawi turut meminta
Jabatan Perikanan menyediakan keperluan termasuk benih ikan serta input
teknikal bagi menyokong pelaksanaan Program Jelajah Kebun Dapur yang dirancang
kementerian.
Jamawi turut menerima taklimat daripada
Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhada Mustapha dan Penolong Pengarah Kanan
Biosekuriti, Matlan @ Abdul Rahim Thaufeck di bilik mesyuarat utama kompleks
berkenaan.
Sementara itu, dalam acara berasingan,
Jamawi bersama Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong
menghadiri Mesyuarat Koperasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
Malaysia (KOTANI).
