KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bertindak pantas menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) susulan maklum balas positif daripada komuniti perniagaan dan industri dalam Forum dan Townhall SMJ 2.0: 2026 - 2030 yang diadakan di Tuaran baru-baru ini.
Forum itu menghimpunkan wakil persatuan industri, dewan perniagaan, badan profesional, pemimpin belia, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembuat dasar bagi membincangkan hala tuju ekonomi Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Program itu turut disokong Malaysia Digital Chamber of Commerce, Malaysia Venture Capital & Private Equity Association dan PEMUDAH - Kumpulan Kerja Teknikal Perkhidmatan Kewangan.
Menurut kenyataan Sekretariat SMJ, para peserta memuji platform terbuka yang membolehkan dialog jujur dan berorientasikan penyelesaian.
“Mereka menekankan kepentingan penyelarasan dasar antara agensi kerajaan dan industri, mempercepat proses pengawalseliaan bagi pelabur dan PKS, serta memastikan pelaksanaan inisiatif ekonomi digital, inovasi dan keusahawanan belia berjalan lancar.
“Forum itu juga membuka ruang bagi membina mekanisme kerjasama awam-swasta yang lebih tersusun bagi memastikan kesinambungan dan akauntabiliti SMJ 2.0,” katanya.
Susulan maklum balas itu, Katanya, Pasukan Petugas Khas ditubuhkan sebagai platform koordinasi berfokus untuk mengumpul isu utama industri, menterjemahkan cadangan pemegang kepentingan kepada dasar yang boleh dilaksanakan serta menyokong penyelarasan antara agensi.
“Pasukan ini juga akan berinteraksi secara berterusan dengan wakil industri bagi memastikan keselarasan sepanjang tempoh pelaksanaan SMJ 2.0 sehingga 2030,” katanya.
Sekretariat SMJ berkata, tindakan pantas itu disambut baik komuniti perniagaan yang melihatnya sebagai tanda ketegasan pentadbiran dan keazaman kerajaan negeri, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta penyertaan sektor swasta.
“Hasil perbincangan forum dijangka didokumentasikan dan akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 30 Januari ini.
“Ia sekali gus menegaskan komitmen kerajaan dan industri untuk membina ekonomi Sabah yang mampan, berdaya saing dan inklusif,” katanya.

