Jalan Persekutuan uzur, Pemuda Gagasan Rakyat desak Sabah diberi keutamaan nasional

KOTA KINABALU: Isu penyelenggaraan Jalan Raya (Persekutuan) di Sabah tidak boleh lagi diselindungkan kerana ia memberi kesan langsung terhadap keselamatan, pergerakan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata Sabah memiliki hampir 1,000 kilometer Jalan Raya (Persekutuan) yang menjadi nadi perhubungan antara Pantai Barat dan Pantai Timur. 

Namun, katanya, sebahagian besar laluan berkenaan berada dalam keadaan uzur, rosak berulang serta tidak lagi memenuhi piawaian keselamatan.

“Ini bukan isu baharu atau bermusim. Keadaan jalan yang rosak berpanjangan berpunca daripada kekangan peruntukan yang kronik dan tidak sepadan dengan keperluan sebenar Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Azrul berkata, kekurangan dana menyebabkan kerja penyelenggaraan terpaksa dibuat secara tampalan sementara dan berulang di lokasi sama, sekali gus meningkatkan kos jangka panjang serta mengakibatkan pembaziran wang awam.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat jalan Persekutuan di Sabah yang tidak menerima penyelenggaraan menyeluruh hampir 20 tahun, sedangkan jumlah kenderaan, beban logistik dan kesan cuaca ekstrem terus meningkat.

“Data dan rekod menunjukkan jurang besar antara keperluan sebenar penyelenggaraan dan peruntukan tahunan yang diluluskan, dengan tunggakan kerja mencecah berbilion ringgit. 

"Ini bukan soal keupayaan pelaksana, tetapi isu keutamaan nasional dan keadilan pembangunan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan penstrukturan dan penyelarasan semula sistem penyelenggaraan jalan secara lebih bersepadu, memandangkan pengurusan ketika ini melibatkan pelbagai kategori jalan di bawah pentadbiran berbeza yang sering beroperasi secara terasing.

Dalam pada itu, Azrul berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan isu penyelenggaraan Jalan Raya (Persekutuan) di negeri ini.

Katanya, perkara itu kerap dibangkitkan dalam pertemuan dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk ketika ucapan sempena Pemukiman Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, apabila Hajiji menegaskan isu berkenaan perlu diselesaikan segera dan tidak boleh terus ditangguhkan.

Mengulas penyelesaian jangka panjang, Azrul menegaskan pemberian 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan amat penting bagi memastikan negeri mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk menangani masalah infrastruktur secara menyeluruh dan mampan.

“Sebahagian besar dana itu wajar disalurkan kepada penyelenggaraan dan pemulihan jalan raya secara terancang, bukan sekadar menampal permukaan jalan, tetapi menjamin keselamatan nyawa, mengurangkan kos logistik dan merancakkan ekonomi negeri,” katanya.

Menurutnya, tanpa iltizam politik yang berani di peringkat Persekutuan, Sabah akan terus terperangkap dalam kitaran rosak, tampal dan rosak semula.

“Jalan raya bukan isu kosmetik. Ia soal keselamatan, kesejahteraan rakyat dan keadilan antara wilayah. 

"Isu ini perlu ditangani segera dengan dana mencukupi, penyelarasan berkesan dan keputusan politik yang adil serta berterusan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama