KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di sekitar bandaraya ini, pada 15 hingga 16 Januari lalu.
Menurut kenyataan JIM Sabah, operasi bersepadu yang melibatkan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar dijalankan oleh 29 pegawai dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu.
Katanya, sepanjang operasi, sebanyak enam premis diperiksa, membabitkan 111 individu termasuk warganegara Malaysia dan asing.
“Hasil pemeriksaan mendapati 10 lelaki dan 14 wanita dewasa ditahan kerana dipercayai melanggar Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63, gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Daripada jumlah itu, 15 adalah warganegara Filipina manakala 9 lagi warga Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang imigresen sedia ada.
JIM Negeri Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berfokus bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara.
