Motosikal ‘Lesap’ ditemui semula, suspek dicekup kurang 12 Jam

Suspek lelaki warga Filipina ditahan polis bersama motorsikal milik seorang penjawat awam yang dilaporkan hilang di Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, Isnin lalu.

SEMPORNA : Seorang lelaki menarik nafas lega apabila motosikal yang diparkir dan disangka sudah ‘lesap’ dicuri, akhirnya berjaya ditemui semula hasil tindakan pantas polis dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian dilaporkan.

Situasi cemas itu dialami mangsa apabila kembali ke kawasan tempat letak kenderaan di Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum di sini kira-kira jam 12.15 tengah hari sebelum mendapati motosikalnya hilang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata mangsa yang juga seorang penjawat awam segera membuat laporan polis pada Isnin lalu sebaik menyedari kehilangan berkenaan.

“Susulan laporan itu sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Bum-Bum melancarkan operasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 24 tahun, bersama motosikal yang dilaporkan hilang,

"Suspek berjaya ditangkap pada jam 6 petang dalam tempoh kurang 12 jam selepas laporan dibuat hari sama," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Tan berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis, membolehkan tindakan pantas diambil.

Jelas beliau lagi, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah harta benda, khususnya kes curi kenderaan dan menyeru orang ramai supaya lebih peka serta tidak meninggalkan motosikal tanpa kunci keselamatan.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama