Isteri dan rakan senegara didakwa bunuh suami

Suriani dan Dimas masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Steve Ritikos, di sini, hari ini. Foto | SS.

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia bersama rakan senegaranya berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat apabila dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suami wanita berkenaan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Suriani Anton, 46, dan Dimas Hardi Muhammad Nur Kholik, 36, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak secara bersama membunuh Lim Chee Yong, 53, yang juga suami kepada Suriani.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan POIC, Lahad Datu, kira-kira jam 4.10 pagi pada 31 Oktober 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala Suriani diwakili peguam Jhasseny P. Kang. 

Dimas bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Berikutan pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh, mahkamah menetapkan 23 Januari bagi lantikan peguam, manakala tarikh pra perbicaraan, pengurusan kes serta serahan dokumen ditetapkan pada 27 Februari depan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama