Projek LRA Kogopon Fasa 2 di Kinarut dijangka siap Ogos ini – Azrul

PAPAR: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, hari ini mengadakan lawatan ke tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 yang dijangka siap menjelang Ogos tahun ini. 

Menurutnya, sesi lawatan itu bertujuan meninjau kemajuan pelaksanaan projek berkenaan yang turut menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu kekurangan bekalan air di kawasan Kinarut dan sekitarnya.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pihak kontraktor perlu memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.

“Keperluan melaksanakan penyelesaian sementara (partial solution) melalui pelaksanaan projek berkenaan bagi membantu mengurangkan gangguan bekalan air yang sedang dialami pengguna sebelum loji tersebut siap sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah JANS, Rodney dan Jurutera Air Daerah Papar, Afiq.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkenaan bersiap sedia dari segi operasi, sistem dan kapasiti perlu dirancang dengan rapi agar loji berkenaan dapat berfungsi secara optimum sebaik sahaja ia siap dan beroperasi kelak. 

“JANS perlu berusaha dan ikhtiar segera dan berterusan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air. Pastikan bantuan sewajarnya disalurkan supaya isu berkenaan dapat ditangani dengan lebih berhemah,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama