KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, 73, dilantik sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkuat kuasa hari ini.
Pelantikannya itu dibuat atas persetujuan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bagi menerajui syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri berkenaan.
Dalam kenyataan di Facebooknya, Anifah merakamkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan memaklumkan beliau telah melapor diri secara rasmi di Qhazanah Sabah Berhad pada hari Jumaat yang mulia ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad selepas menerima lantikan daripada YAB Ketua Menteri Sabah.
“Saya turut menerima taklimat ringkas daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad, Rudy Jaglul serta diperkenalkan kepada barisan pegawai kanan syarikat,” katanya.
Menurut Anifah, beliau akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin demi kepentingan Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat keseluruhannya.
Pelantikan tokoh berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan diplomasi itu dilihat mampu memperkukuh hala tuju strategik Qhazanah Sabah Berhad, khususnya dalam memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri terus mampan dan berdaya saing.
Anifah sebelum ini pernah memegang jawatan penting di peringkat Persekutuan, termasuk sebagai Menteri Luar Negeri, sekali gus membawa pengalaman luas dalam kepimpinan dan tadbir urus ke dalam peranan baharunya itu.
