Dua lelaki warga asing kantoi curi kabel di Kota Belud

KOTA BELUD: Tindakan mencurigakan dua lelaki warga asing membawa padah apabila mereka dicekup polis selepas disyaki terbabit kegiatan mencuri kabel telekomunikasi dalam kejadian kejar-mengejar sejauh beberapa kilometer di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain, berkata kedua-dua suspek berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan hasil operasi bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Menurutnya, kejadian bermula ketika sepasukan BSPT menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton berwarna oren dipandu dalam keadaan mencurigakan enggan berhenti, sebelum memecut melarikan diri.

“Polis bertindak mengejar kenderaan terbabit sehingga ke Kampung Bokilong.

"Susulan itu, kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berjaya ditahan dengan bantuan pasukan BSJ, namun beberapa rakan suspek lain sempat meloloskan diri ke kawasan hutan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa gulungan kabel telekomunikasi di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama kenderaan serta barang rampasan dibawa ke IPD Kota Belud bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22A OKKNS serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Shahrudin menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah, khususnya yang menjejaskan kemudahan awam dan keselamatan masyarakat.

“Operasi dan tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama