LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan jenis Toyota Vigo yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam lubang pembentungan sedalam tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.08 pagi dan mendapati sebuah Toyota Vigo terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) yang sedang dalam pembinaan dengan anggaran kedalaman tujuh meter dan lebar 6.5 meter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, seramai 14 anggota bomba bersama beberapa jentera digunakan dalam operasi menyelamat termasuk teknik tali dan pengusung (stretcher) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dari dalam lubang berkenaan.
“Kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik. Namun, seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mengalami kecederaan patah tangan.
"Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Almadi Hassan, manakala mangsa cedera, Wilyamil Ahajul, 34, dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya
Sumsoa berkata, mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut sebelum pasukan bomba memasang sawar keselamatan di kawasan kejadian bagi mengelakkan risiko bahaya lain.
“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada ancaman lanjut, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi,” katanya.
