Cubaan seludup enam kotak rokok RM6,000 tak kesampaian

 

KUDAT: Cubaan seorang lelaki menyeludup enam kotak rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM6,000 menggunakan perkhidmatan feri awam ke Pulau Banggi tidak kesampaian apabila berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan pergerakan rokok seludup yang dipercayai menggunakan laluan feri awam di perairan Kudat.

Menurutnya, bertindak atas risikan diterima, sebuah bot rondaan Maritim Malaysia digerakkan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas feri terbabit.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa keluar rokok seludup tanpa cukai ke Pulau Banggi.

“Pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan membawa rokok yang disyaki tidak bercukai.

Hasbullah berkata, Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat menegaskan pihaknya akan terus memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama