RM76 juta bantuan awal persekolahan untuk pelajar Sabah - Mustapha

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM76 juta bantuan awal persekolahan kepada pelajar di Sabah berjumlah lebih 500,000 murid dan pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 di seluruh negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Mustapha Sakmud berkata bantuan berkenaan merangkumi Bantuan Awal Persekolahan dan Insentif Sejahtera MADANI yang disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Alhamdulillah, pagi ini kita menyampaikan bantuan awal persekolahan dan insentif Sejahtera MADANI kepada pelajar-pelajar di Sabah, khususnya di SMK Bandaraya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar SMK Bandaraya, di sini, hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, RM409,500 disalurkan khusus kepada pelajar di SMK Bandaraya sahaja.

Mustapha berkata, kadar bantuan yang sebelum ini RM100 seorang telah dinaikkan kepada RM150 sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap bebanan kos ditanggung ibu bapa.

“Ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri. Tidak kira struktur gaji, daripada B40 hingga T20 semuanya menerima insentif yang sama,” jelasnya. 

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan bantuan tersebut digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Dalam perkembangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau memaklumkan sudah memulakan sesi libat urus dengan kepimpinan Sabah dan Sarawak selepas memulakan tugas di kementerian.

“Saya baru memulakan tugas dan telah menerima taklimat. Ada 16 perkara masih belum diselesaikan dan saya akan susuli satu persatu,” tambahnya. 

Dalam pada itu, mengulas berkenaan isu MA63, beliau telah mengadakan kunjungan hormat dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak, pada Isnin.

“Pada masa yang sama, saya akan mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana, diikuti pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah pada tengah hari ini. 

“Pandangan kedua-dua pemimpin ini akan kita bawa pulang sebagai input penting. 

“Saya sendiri akan menggerakkan sesi libat urus dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memulakan gerak kerja susulan, yang sebahagiannya sebenarnya sudah pun dilaksanakan sebelum ini,” tambahnya. 

Menurutnya, proses penyelesaian isu MA63 kini dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu peringkat penyelarasan, jawatankuasa teknikal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan jawatankuasa utama dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau berkata satu dashboard khas MA63 akan dilancarkan hujung bulan ini bagi membolehkan rakyat melihat status semasa perbincangan dan perkara yang telah serta belum diselesaikan.

“Kita mahu rakyat mendapat maklumat tepat, bukan daripada sumber luar yang kadang-kadang tidak tepat. 

“Dashboard ini akan dibuka kepada umum melalui portal Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama