PENAMPANG: Ladang penternakan buaya yang tular menerusi klip video berdurasi satu minit di media sosial disahkan beroperasi secara sah serta memiliki lesen lengkap, hasil pemeriksaan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton, berkata pemeriksaan itu dijalankan susulan penularan video berkaitan habitat buaya yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah ladang penternakan buaya di kawasan Penampang.
“Hasil pemeriksaan mendapati ladang berkenaan beroperasi secara sah serta memiliki lesen penternakan dan lesen jual beli daging buaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati klip video yang tular itu dipercayai dirakam berhampiran sebuah ladang penternakan buaya berlesen dan tidak melibatkan sebarang pelanggaran undang-undang.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat tepat dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang akan terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Sebelum itu, klip video berkenaan tular di media sosial dan mengundang kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan penduduk berhampiran lokasi terbabit.

