![]() |
| Tertuduh Yusri Amsar, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar lebih 1kg dadah jenis syabu, awal Januari lalu. Foto | SS |
TAWAU : Seorang lelaki warga Indonesia yang baru berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih satu kilogram dadah berbahaya jenis methamphetamine awal bulan ini.
Tertuduh, Yusri Amsar, 19, hanya mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Tawau, Mohd Afiz Huzairi Ayob.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar 1,009.47 gram methamphetamine di hadapan sebuah premis menjual produk dan makanan sejuk beku di Jalan Lorong 1, dekat sini, pada jam 10.15 malam, 1 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan ujian kimia sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hasil maklumat risikan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tertuduh mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan dia berperanan sebagai ‘runner’ yang dibayar puluhan juta rupiah untuk menghantar bekalan ke negara jiran.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
