Tiga pusat pemindahan dibuka, tampung mangsa banjir di Sabah

Ihsan: Facebook Mawardi Ismail

KOTA KINABALU: Sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini dibuka di Sabah bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir melibatkan beberapa daerah di negeri ini.

Menurut rekod Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, tiga pusat pemindahan tersebut telah membabitkan daerah Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

“513 penduduk daripada 177 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan terjejas,”menurut kenyataan JPBN Sabah, setakat lapan pagi, hari ini. 

Sementara itu, di daerah Beaufort, PPS Dewan Selagon mempunyai peningkatan jumlah yang ketara dengan menempatkan seramai 338 penduduk daripada 120 KIR. 

“Di Kota Belud, PPS Dewan Kampung Lentigi telah menempatkan 17 penduduk daripada empat KIR,” jelasnya. 

JPBN Sabah memaklumkan, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS setakat ini adalah kekal dan tiada kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, di Kota Kinabalu, PPS di Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau dibuka sejak 3 Januari lalu. 

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr. Hj Sabin Samitah, berkata pembukaan PPS itu dibuat berdasarkan pandangan dan cadangan Ahli Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu selepas laporan di lapangan diterima.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu telah mengarahkan pembukaan PPS tersebut bermula 3 Januari 2026, jam sembilan malam,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama