BN tawar calon berwibawa, pastikan kestabilan politik di Kinabatangan dan Lamag

KOTA KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) menampilkan dua calon yang disifatkan berwibawa serta bersedia berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada pilihan raya kecil, kali ini.

Calon Parlimen Kinabatangan ialah Mohd Naim Kurniawan Moktar, manakala Mohd Ismail Ayob dipertaruhkan bagi kerusi DUN Lamag.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pemilihan kedua-dua calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira kriteria kepimpinan, penerimaan masyarakat setempat serta keupayaan mereka memberikan khidmat secara konsisten.

“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah, BN komited memastikan kestabilan politik, pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen 14 hari ini, BN akan menggerakkan pendekatan berorientasikan rakyat dengan memberi peluang masyarakat berinteraksi secara langsung dengan calon.

“Rakyat dapat memahami visi, misi serta perancangan pembangunan yang ditawarkan selain menekankan aspek pendengaran aktif, penyampaian maklumat jelas dan penyelesaian konkrit terhadap isu setempat,”jelasnya. 

Jafry menambah bahawa Naim Moktar membawa semangat generasi muda yang progresif serta dekat dengan aspirasi rakyat Kinabatangan, manakala Mohd Ismail pula mempunyai pengalaman dan memahami keperluan masyarakat di Lamag.

“Kedua-dua mereka mampu memastikan suara rakyat terus didengar dalam pentadbiran dan forum perundangan,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru seluruh jentera parti serta pengundi di Kinabatangan dan Lamag agar memberikan sokongan padu kepada calon BN.

“Sokongan rakyat penting demi kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan masa depan yang lebih terancang serta sejahtera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama