Warga emas melecur, kebakaran musnahkan dua rumah di Tongod

TONGOD: Seorang wanita warga emas melecur di bahagian lengan selepas terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah tidak kekal, sebuah kedai runcit serta beberapa kenderaan dalam kejadian di Kampung Bolot, di sini, petang tadi. 

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.12 petang. 

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 156 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 2.20 petang, didapati kebakaran sudah merebak dan melibatkan dua rumah jenis tidak kekal, sebuah kedai runcit, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot, semuanya musnah terbakar 100 peratus.

“Seorang mangsa wanita berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur di lengan dan telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hairi, operasi pemadaman dijalankan oleh anggota bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dengan satu pancutan air dari pili bomba berhampiran.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.31 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama