SEMPORNA: Seorang kru bot dilaporkan hilang manakala empat lagi cedera selepas dua bot penumpang bertembung kira-kira 0.3 batu nautika di timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian 999 pada jam 11.30 pagi.
Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran berkenaan.
“Empat mangsa termasuk juragan bot dilaporkan cedera dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang lagi kru bot berkenaan, Rosman Kandau, 24, disahkan hilang di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot kedua yang terlibat dalam perlanggaran itu membawa dua kru dan kesemuanya dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, susulan laporan diterima, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
"Operasi itu membabitkan aset Bot CENDERAWASIH 09 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin.
“Pencarian dijalankan meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan operasi CARILAMAT masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Shubli menasihatkan orang ramai khususnya komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau pencarian mangsa supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 014-7870624 untuk tindakan segera.
