KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) mengesahkan menerima banyak keluhan dan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa berhubung kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet oleh YTL Communications di sekolah-sekolah di negeri ini.
Menurut KPSTI, kelewatan berkenaan memberi kesan langsung terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha pendigitalan pendidikan, khususnya melibatkan 736 buah sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP).
Katanya, antara isu utama dikenal pasti termasuk perkhidmatan internet yang tidak memuaskan dengan capaian jalur lebar tidak mencapai tahap dijanjikan, selain respon yang perlahan daripada pihak YTL dalam menangani aduan sekolah.
“Kami juga mendapati terdapat kelewatan pemasangan infrastruktur fiber PoP walaupun lokasi telah dikenal pasti.
"Malah, ada PoP yang disenaraikan sebagai siap tetapi masih belum boleh digunakan,” menurut kenyataan itu hari ini.
KPSTI turut memaklumkan sebahagian sekolah masih bergantung kepada menara 1BestariNet, menyebabkan kualiti capaian internet kekal rendah dan tidak konsisten, sekali gus menjejaskan kelancaran PdP, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu, KPSTI memandang serius perkara berkenaan memandangkan akses internet yang stabil dan berkualiti adalah keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini bagi menyokong pembelajaran digital serta pengurusan sekolah yang lebih cekap.
“Kerajaan Negeri Sabah akan menilai semula prestasi pihak YTL secara menyeluruh, termasuk pematuhan terhadap garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan dan respon terhadap aduan,” katanya.
Menurut KPSTI, penilaian itu bertujuan memastikan tiada kelewatan berpanjangan yang terus menjejaskan PdP.
"Sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan berkenaan demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan Sabah.
“Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan setiap sekolah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
