KOTA BELUD: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 16 Disember lalu ditemukan meninggal dunia di kawasan pertanian Tumpul Tambulion Luminodip, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 83 tahun itu ditemukan kira-kira jam 10 pagi hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh lapan anggota agensi penyelamat dengan bantuan 12 penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi berdepan beberapa cabaran berikutan paras air sungai yang dalam serta arus deras, selain keadaan kawasan berpaya.
“Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui kebun sawit untuk sampai ke lokasi mangsa dengan menggunakan kenderaan utiliti Vigo bomba.
“Selepas mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan paya, mayat dibawa ke jalan utama sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan akhir turut dijalankan di kawasan operasi bagi memastikan tiada sebarang risiko lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang pada 16 Disember lalu selepas tidak pulang ke rumah dipercayai di sekitar Kampung Tambulion Laut, Kota Belud.
Kes kini diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

