Polis siasat kes buang bayi di Taman Awam Teluk Likas

KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan kes buang bayi yang berlaku di kawasan Taman Awam Teluk Likas, di sini, semalam.

Terdahulu, seorang bayi lelaki cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan ditemui oleh orang awam di kawasan berkenaan.   

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 6.30 pagi hasil panggilan orang awam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Bayi itu segera dibawa ke Hospital Likas oleh ambulans bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang saksi mata, selain kawasan berkenaan juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), sekali gus menyukarkan siasatan awal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dimaklumkan untuk tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-316 7612.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama