Van terbakar di Api-Api, pemandu melecur

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera melecur selepas van yang dipandunya terbakar dalam kejadian berhampiran Wawasan Plaza Sentral, Api-Api, di sini, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang dipercayai pemandu van tersebut dilaporkan melecur di bahagian belakang badan.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Hanis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.58 petang sebelum sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kebakaran membabitkan sebuah van yang terbakar sepenuhnya dan pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula.

“Seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan melecur kira-kira tujuh peratus di bahagian belakang badan.

"Mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.28 malam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama