LAHAD DATU: Mat rempit yang videonya tular di media sosial kerana disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram di daerah ini, awal pagi 21 Disember lalu, sudah dicekup polis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun itu ditahan hasil maklumat awam serta tindakan pantas Unit Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 3.50 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran Lapangan Terbang Lahad Datu apabila suspek dipercayai melanggar lampu isyarat merah sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Dalam kejadian itu, suspek turut terlibat kemalangan selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya dikesan di kediamannya di Felda Sahabat pada 23 Disember kira-kira jam 4.15 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu," katanya.
Dzulbaharin berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda RM10,000 hingga RM20,000 boleh dikenakan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat, selain mengingatkan golongan belia mematuhi undang-undang lalu lintas serta menjauhi kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.
“Operasi bersepadu akan dijalankan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti lumba haram,” katanya.
