Pandu berhemah, utamakan keselamatan di musim perayaan – Joachim

KUNDASANG: Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa memandu secara berhemah dan mengutamakan keselamatan, khususnya sepanjang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan pergerakan trafik di seluruh Sabah.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, keselamatan jalan raya bukan sahaja bergantung kepada keadaan infrastruktur, tetapi turut melibatkan sikap dan tanggungjawab setiap individu ketika berada di jalan raya.

“Setiap pengguna jalan raya memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan yang selamat, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Natal 2025 yang diadakan di sini, hari ini.

Menurut Joachim, kempen berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, mengamalkan pemanduan berhemah dan mengurangkan risiko kemalangan, kecederaan serta kehilangan nyawa, terutama ketika musim perayaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi had laju yang ditetapkan, mengelakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu, serta tidak memandu atau menunggang dalam keadaan letih atau mengantuk.

“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan peralatan keselamatan sentiasa mencukupi,” katanya.

Selain penyampaian mesej kesedaran, Joachim berkata kempen itu turut memberi penekanan kepada langkah pencegahan secara praktikal melalui pengagihan barangan keselamatan jalan raya seperti segi tiga kecemasan dan kit pertolongan cemas kepada pengguna jalan raya.

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya merupakan program tahunan di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah, dengan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRUS) bertindak sebagai urus setia negeri dalam menyelaras pelaksanaan program tersebut.

Program berkenaan dilaksanakan secara konsisten setiap kali musim perayaan selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan dan pergerakan pengguna jalan raya.

Daerah Ranau dipilih sebagai lokasi kempen kerana ia merupakan laluan utama yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah, serta sering digunakan oleh orang ramai yang pulang ke kampung halaman atau melancong.

Kempen itu turut melibatkan penukaran helmet baharu kepada penunggang motosikal terpilih bagi menggalakkan penggunaan peralatan keselamatan yang lebih berkualiti dan menepati piawaian semasa.

Sejurus selesai kempen, Joachim bersama rombongan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi termasuk jalan di sekitar SK Pekan Kundasang, Jalan Kampung Permai, Jalan Kauluan Pinonsuk serta Loji Rawatan Air Kundasang bagi meninjau keadaan semasa dan perkembangan infrastruktur di kawasan berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama