Usia 50-an pun masih ‘ketagih’ syabu

LAHAD DATU: Sepatutnya jadi contoh, sebaliknya seorang lelaki berusia 53 tahun membuktikan ketagihan syabu tidak mengenal usia apabila dicekup polis bersama dadah dalam serbuan awal pagi tadi di Kampung Lok Banga, Jalan Lahad Datu–Tungku.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor yang dipercayai dijadikan lokasi menyimpan dan menggunakan dadah.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemukan lapan paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu, selain empat gulung kertas timah ‘aksesori wajib’ penagih, walaupun usia sudah menjengah separuh abad.

Lebih memalukan, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 

Akibat perbuatannya, suspek kini berdepan tindakan undang-undang apabila kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam kes sama, dua lagi lelaki yang berada di lokasi serbuan turut ditahan selepas ujian saringan awal mendapati mereka juga positif Amphetamine dan Methamphetamine. 

Kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner  Dzulbaharin Ismail, menegaskan pihaknya tidak akan berlembut dengan mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah dadah, tanpa mengira usia.

Menurutnya, operasi berterusan akan terus digiatkan bagi memastikan kegiatan dadah dapat dibanteras, selain memberi peringatan bahawa ‘lesen umur’ bukan tiket untuk terlepas daripada tindakan undang-undang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama