KOTA KINABALU: Tempoh lima tahun pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bermula tahun hadapan disifatkan sebagai fasa paling kritikal dalam sejarah pembangunan negeri bagi menyelesaikan isu asas rakyat dan memperkukuh masa depan Sabah.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, berkata saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, agar semua Setiausaha Politik membantu kerajaan dalam setiap aspek pentadbiran perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan kesungguhan.
Menurutnya, komitmen menyeluruh amat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan negeri bukan sahaja difahami, malah disampaikan dengan berkesan sehingga manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di semua peringkat.
“SMJ 2.0 merupakan komitmen besar kerajaan negeri kepada rakyat. Tempoh lima tahun pelaksanaannya adalah penentu untuk memastikan isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Kejayaan menangani perkara ini akan menjadi penanda aras utama keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, aspek komunikasi awam dan penyampaian dasar perlu diperkukuhkan bagi memastikan maklumat berkaitan projek serta inisiatif pembangunan disampaikan secara tepat, berfakta dan berterusan.
Jelasnya, komunikasi yang berkesan bukan sahaja bertujuan memaklumkan rakyat, malah untuk mengurus persepsi secara bertanggungjawab serta membina keyakinan terhadap hala tuju kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pelbagai program dan inisiatif kerajaan negeri yang menyentuh kehidupan rakyat perlu diperluaskan penyampaiannya, termasuk dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, keusahawanan, kebajikan, sosial, sukan, pembangunan belia, pemerkasaan wanita serta golongan rentan.
“Rakyat bukan sekadar perlu mengetahui kewujudan dasar dan program, tetapi perlu diberikan kefahaman yang jelas supaya mereka tidak tercicir daripada memohon dan menikmati manfaat yang disediakan,” katanya.
Menyentuh potensi ekonomi negeri, Azrul berkata Sabah mempunyai peluang besar untuk melonjakkan kedudukan kewangan dan ekonomi melalui peningkatan hasil negeri, termasuk tuntutan dan pelaksanaan kutipan 40 peratus hasil Sabah, peningkatan pendapatan sektor minyak dan gas serta pembangunan Ekonomi Biru secara lebih tersusun dan strategik.
Beliau turut menyifatkan cadangan penubuhan Sabah Sovereign Wealth Fund seperti digariskan dalam manifesto GRS sebagai langkah strategik bagi memastikan pertambahan dana berskala besar diurus secara profesional dan berdisiplin, selaras sasaran meningkatkan hasil negeri sehingga RM10 bilion menjelang 2030.
Selain itu, Azrul mencadangkan pembangunan satu sistem bersepadu yang menghimpunkan semua dasar, inisiatif dan projek kerajaan negeri secara komprehensif dan interaktif bagi memudahkan rakyat mengakses maklumat, membuat permohonan serta menjejaki status pelaksanaan projek.
“Budaya kerja baharu yang lebih tersusun dan telus ini penting bagi memastikan setiap dasar dilaksanakan mengikut perancangan serta dapat dilihat secara nyata oleh rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan SMJ 2.0 akan menjadi asas kepada pembangunan Sabah yang lebih progresif, mampan dan inklusif demi memastikan kestabilan politik, kekuatan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.
