Turun padang meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1

KOTA KINABALU, SABAH - Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hari ini telah melaksanakan siri Lawatan Turun Padang (TURPA) ke Sabah bagi meninjau perkembangan terkini dua pakej kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A. Lawatan ini merangkumi Pakej Kerja (WP) 6:

Menaiktaraf Jalan dari Putatan ke Inanam, Pakej Kerja (WP) 7: Menaiktaraf Jalan dari Inanam ke Sepangar dan Pakej Kerja (WP) 8: Menaiktaraf Jalan Dari Sepanggar Ke Bulatan Berunggis.

Sesi TURPA merupakan inisiatif rutin kepimpinan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memantau kemajuan fizikal projek secara holistik, mengenal pasti cabaran serta isu-isu di tapak pembinaan yang memerlukan tindakan penyelesaian segera. Pendekatan proaktif ini penting bagi mengelakkan kelewatan projek dan memastikan tiada projek yang diklasifikasikan sebagai 'sakit'.

Pakej Kerja ini adalah sebahagian daripada jajaran strategik Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKORR), yang berperanan sebagai penghubung jajaran utama dari bahagian Barat Daya k e Barat Laut Sabah. Infrastruktur ini bukan sahaja penting dalam jaringan jalan raya utama negeri, malah dijangka memberikan impak sosio- ekonomi yang besar kepada rakyat, termasuk memangkin lonjakan baharu dalam pertumbuhan sosio-ekonomi negeri , merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan, serta meningkatkan keterhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Projek LPB Sabah Fasa 1 melibatkan kerja-kerja pembinaan sepanjang 706 kilometer dan dilaksanakan dalam dua (2) fasa utama. Pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1A melibatkan jajaran sepanjang 318 km dan kini sedang giat dilaksanakan di tapak dengan status kemajuan terkini adalah 86.53%. Bagi WP09 iaitu dari Serusup ke Pituru, status kemajuan telah mencapai 14.23%. Sehingga kini, sebanyak 4 Pakej

Kerja daripada keseluruhan 16 Pakej Kerja telahpun berjaya disiapkan dan dibuka untuk pengguna jalan raya. Manakala bagi LPB Sabah Fasa 1B yang melibatkan jajaran sepanjang 388 km, ianya kini sedang dilaksanakan mengikut perancangan dimana kemajuan fizikal dicatatkan pada tahap 12.27%.

KKR menyeru semua pihak berkepentingan—termasuk pasukan projek, kontraktor, dan Jabatan Kerja Raya (JKR)—untuk meningkatkan komitmen dan kerjasama melalui perbincangan yang berterusan. Ini adalah penting bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut spesifikasi, masa, dan kos yang telah ditetapkan.

Matlamat ini selari dengan aspirasi Kementerian untuk menyediakan rangkaian jalan raya yang lebih selesa, selamat, dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia, sekali gus merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan, dan kemampanan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama