Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bantuan berkenaan akan melibatkan seramai 18,853 penjawat awam termasuk pegawai berstatus kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.
Menurut beliau, pemberian bantuan khas itu merupakan penghargaan Kerajaan Sabah kepada penjawat awam yang menjadi nadi utama jentera pentadbiran negeri dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerajaan Sabah ingin membawa khabar gembira kepada penjawat awam dengan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026.
Beliau memaklumkan, bantuan tersebut akan dibayar secara dua fasa, iaitu pada Februari 2026 sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sebelum sambutan Pesta Kaamatan 2026, dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM52.6 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sabah turut mengumumkan pemberian RM1,000 kepada semua pesara Kerajaan Sabah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan awam negeri.
