![]() |
| Foto Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan hampir 40 peratus daripada keseluruhan siling Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi belanjawan 2026 bagi menyelesaikan pelbagai isu kritikal yang melibatkan infrastruktur asas negeri.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Majnun berkata komitmen besar itu dibuat sebagai respon langsung terhadap keresahan rakyat yang masih berdepan cabaran berkaitan kemudahan asas.
“Kerajaan Sabah mendengar rintihan dan keresahan rakyat berkaitan kemudahan infrastruktur asas yang masih belum menemui penyelesaian secara tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan negeri 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM4.80 bilion atau 39.92 peratus daripada keseluruhan siling RMKe-13 disediakan kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti serta jabatan di bawahnya bagi melaksanakan 318 projek pembangunan yang merangkumi 106 projek sambungan dan 212 projek baharu.
Katanya, peruntukan besar ini adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat menerima kemudahan asas yang lebih baik dan selamat.
“Oleh itu, komitmen Kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan terzahir dengan penyediaan siling peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti serta jabatan di bawahnya,” jelasnya.
Daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.67 bilion disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membiayai 173 projek, termasuk pembaikan jalan raya, pembinaan jambatan, pengukuhan cerun serta program keselamatan jalan raya.
Beliau menambah bahawa isu air turut diberikan perhatian besar melalui peruntukan RM1.77 bilion untuk Jabatan Air Sabah bagi membiayai 77 projek pembangunan.
“Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pembinaan dan naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Papar, Lahad Datu, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan, selain kerja-kerja penggantian pam untuk meningkatkan kecekapan operasi sistem sedia ada.
“Penyelenggaraan aset-aset kritikal seperti LRA Telibong II, Sistem Bekalan Air Bandar, LRA Milau Kudat serta LRA Segaliud Sandakan turut diberi keutamaan,” tambahnya.
Masidi menjelaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah turut menerima RM347.84 juta untuk 65 projek pembangunan.
“Antara projek utama yang dilaksanakan termasuklah pembaikan paip pembetungan kritikal di Kota Kinabalu dan Tawau, serta pembinaan Loji Enap Cemar Ranau,” katanya.
